Powered by Blogger.
RSS

Falsafah Pengajaranku

Falsafah pengajaran saya dibentuk daripada pengalaman hidup saya di sepanjang mempelajari ilmu kimia. Betapa subjek ini sangat sukar buat saya dan apa yang diajar cikgu ketika itu seolah-olah tidak masuk ke minda. Tanpa disangka saya diberi peluang dan ruang untuk menjadi seorang guru kimia. Kesukaran  saya belajar kimia ketika di tingkatan empat dan lima dahulu membuatkan saya sentiasa terfikir bahawa adakah pelajar-pelajarku ini faham apa yang aku sampaikan pada mereka? Atau mereka juga seperti diri ini yang terkial-kial mencari titik kefahaman konsep-konsep kimia? Lantaran itu, saya berazam untuk memastikan setiap pelajar faham dan tahu apa yang saya sampaikan. Saya mahu setiap pelajar masuk ke alam kimia . Mereka harus faham setiap konsep dalam setiap bab yang diajar. Saya ingin memastikan mereka tahu di mana jawapan harus dicari apabila sesuatu soalan kimia diberikan.
4 tahun mengajar subjek kimia ini, membantu diri saya untuk memperbaiki setiap kaedah pengajaran saya. Setiap tahun, kaedah yang digunakan dalam pengajaran saya adalah berbeza-beza dan ia menjadi semakin baik. Tujuan saya hanya satu iaitu mencari kaedah termudah dan terbaik untuk pelajar-pelajar memahami konsep kimia. Semua pelajar harus dipandang tinggi  tanpa mengira gred keputusan mereka. Namun, pelajar  yang cemerlang ialah pelajar yang tahu apa yang dia faham dan tahu apa yang dia tidak faham. Tanggung jawab kitalah untuk membentuk kefahaman itu. Proses pembelajaran yang berkesan akan berlaku apabila guru dan  pelajar  berkomunikasi secara dua hala yang mana guru dapat memberi kefahaman kepada pelajar bagi setiap apa yang diajar manakala pelajar faham setiap apa yang disampaikan guru. Falsafah pengajaran saya hanyalah ingin memastikan pelajar faham setiap konsep kimia dengan cara yang paling mudah. Saya ingin memastikan  pelajar rasa bahawa kimia ini adalah satu subjek yang menarik dan mengagumkan.
Kimia dan kemahiran mengendalikan alat radas ibarat kehidupan dan kebahagiaan. Apa guna hidup andai tidak bahagia. Apa guna belajar kimia tetapi tidak tahu mengendalikan alat radas. Sehubungan itu, setiap pelajar kimia harus menguasai kemahiran mengendalikan alat radas. Kemahiran tersebut sangat berguna untuk mereka aplikasikan di peringkat pengajian mereka yang seterusnya. Guru-guru harus tahu bahawa sekolah adalah  sumber utama untuk pelajar-pelajar kimia memperoleh pengalaman menggunakan alat radas. Menjadi tanggung jawab kita untuk membina pengalaman tersebut dalam diri pelajar. Terbinanya satu modal insan adalah dengan sentuhan ilmu daripada seorang guru.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment